LEVERKUSEN – Pengarah Bayer Leverkusen, Simon Rolfes memberikan jaminan pengendali pasukan itu, Xabi Alonso akan terus kekal bersama kelab berkenaan menghadapi saingan musim depan biarpun hangat dikaitkan dengan jawatan di Liverpool.
Sejak Jurgen Klopp mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatannya penghujung musim ini, para peminat The Reds menggesa pengurusan tertinggi Liverpool untuk melantik Alonso yang pernah menyarung jersi kelab berkenaan dari 2004 hingga 2009.
Ia berdasarkan rekod hebat pengendali berusia 42 tahun itu yang berjaya mengemudi Leverkusen mengungguli carta Bundesliga dengan kelebihan lima mata ke atas Bayern Munich di tangga kedua.
Alonso juga berjaya memastikan skuad Die Werkself itu kebal tanpa kalah daripada 31 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini termasuk melangkah ke separuh akhir Piala DFB Pokal.
“Sebenarnya bukan sahaja Xabi (Alonso), tetapi pemain-pemain kami juga akan mendapat tawaran daripada kelab-kelab lain berdasarkan prestasi menakjubkan pasukan ketika ini.
“Namun, saya tak bimbang dan menaruh keyakinan tinggi. Walaupun mempunyai klausa dalam kontraknya, tetapi paling penting ialah beliau gembira berada di sini. Kami akan mempunyai pasukan yang sangat hebat musim depan,” kata Rolfes.
Bagaimanapun, Liverpool terpaksa bertarung dengan satu lagi gergasi Eropah iaitu juara Sepanyol, Barcelona yang dikatakan turut berminat menyambar khidmat Alonso.
Ia selepas ketua jurulatihnya, Xavi Hernandez akan melepaskan jawatannya perhujung musim ini. – AGENSI