fbpx

Kastam rampas kereta mewah, minuman keras, rokok RM5.84 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADZRI (tiga dari kanan) menunjukkan barangan yang dirampas JKDM Melaka dalam enam serbuan, bulan lalu. - Foto oleh AMRAN MULUP

MELAKA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan kegiatan penyeludupan kereta mewah, minuman keras dan rokok bernilai RM5.84 juta dalam enam serbuan berasingan, bulan lalu.

Pengarah JKDM negeri, Nadzri Che Ani berkata, tiga individu membabitkan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 30-an hingga 50-an turut ditahan.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah kediaman di Semabok pada 2 Januari lalu dan sebanyak 3,026.88 liter minuman keras melibatkan nilai cukai RM120,514.13 dirampas.

Beliau berkata, pada 18 Januari lalu pula, sebuah lori jenis Nissan UD disita selepas didapati dimuatkan dengan kotak-kotak berisi minuman keras bernilai RM174,627.35 dipercayai diseludup di sebuah kilang kitar semula di Klang, Selangor.

“Bahagian Penguatkuasan JKDM juga berjaya mematahkan penyeludupan sebuah kereta mewah jenis Porsche Panamera yang dipercayai diseludup dari negara jiran melibatkan nilai cukai berjumlah RM286,000.

“Bertindak melalui maklumat risikan, kita berjaya mengesan kereta tersebut yang ditutup dengan kain dan disembunyikan di rumah kediaman berpagar di Jasin,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Melaka, Lebuh Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Nadzri, dalam serbuan keempat melibatkan sebuah rumah di Bertam Ulu, Alor Gajah pada 24 Januari lalu, sebanyak 239,228 batang rokok pelbagai jenama disita membabitkan cukai berjumlah RM182,637.62.

Katanya, seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an yang berada di rumah berkenaan ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pembayaran cukai.

“Pada 28 Januari, JKDM berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok yang tidak dibayar cukai selepas menahan sebuah lori Mitsubishi Fuso yang memuatkan 2,780,00 batang rokok melibatkan cukai berjumlah RM2,225,300.

“Lori berkenaan ditahan di Jalan Kluang-Kota Tinggi, Johor dan hasil pemeriksaan, kotak-kotak berisi rokok seludup itu didapati tidak mempunyai setem cukai kastam,” ujarnya.

Menurutnya, serbuan terakhir dilakukan di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor pada 29 Januari 2024 dengan rampasan sebanyak 3,810,000 batang rokok seludup melibatkan cukai bernilai RM2,849,880. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI