PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerima kunjungan hormat Naib Presiden Filipina yang juga Setiausaha Pendidikan negara itu, Sara Zimmerman Duterte-Carpio semalam.
Menerusi perkongsiannya di laman X, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air memberitahu, pertemuan tersebut diadakan di pejabatnya di Wisma Sumber Asli, Putrajaya bagi memfokuskan kerjasama dua hala.
“Dalam kunjungan itu, kami turut mengadakan perbincangan hubungan dua hala antara Malaysia dan Filipina serta usaha memantapkan kerjasama melibatkan beberapa sektor yang dikenalpasti,” ciapnya.
Difahamkan, kunjungan tersebut adalah sebahagian daripada lawatan rasmi Duterte di Malaysia untuk menjalankan tugas sebagai Presiden Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO). – KOSMO! ONLINE