IPOH – Tiga individu termasuk dua kakitangan hospital direman enam hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu pembekalan barangan perubatan bernilai RM75,000.
Perintah reman sehingga Isnin depan terhadap kakitangan hospital berusia 36 dan 39 tahun serta seorang pembekal berusia 55 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret S. Punitha.
Kesemua suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini untuk permohonan reman.
Tempoh reman itu dipohon bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 10 pagi dengan berpakaian lokap SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE