PASIR MAS – Seorang anggota polis bukan Islam memilih untuk berkhatan bersama kanak-kanak pada Majlis Khatan Perdana di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, anggota tersebut merupakan kaum pribumi Sabah yang bertugas di IPD Pasir Mas.
“Selain anak-anak anggota, pihak IPD Pasir Mas turut membawa anak-anak asnaf untuk menyertai program itu yang dijalankan sempena cuti sekolah.
“Majlis Khatan Perdana dianjurkan dengan kerjasama Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan IPD Pasir Mas,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Khatan Perdana di IPD Pasir Mas di sini hari ini.
Usaha pemberita untuk bertemu anggota polis tersebut tidak berhasil apabila lelaki berusia 28 tahun itu enggan ditemu bual.
Mengulas lanjut, Kama Azural memberitahu, majlis itu julung kali yang diadakan oleh IPD Pasir Mas dan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada peserta.
Katanya, selain tuntutan agama, program itu turut dianjurkan untuk mewujudkan kerjasama dengan agensi lain.
“Saya mahu semangat kekeluargaan yang diterapkan dalam kalangan warga IPD Pasir Mas dapat dihayati dengan sebaik mungkin,” ujarnya.
Sementara itu, seorang ibu yang juga anggota polis, Nor Azura Zahari, 40, berkata, majlis itu memudahkan urusan berkhatan anak-anak anggota IPD Pasir Mas.
Katanya, dua anaknya, Adam Haris Mohd. Saipul Anuar, 10, dan Adib harraz, 6, turut mengambil peluang berkhatan pada majlis tersebut. – KOSMO! ONLINE