PETALING JAYA – Pelawak Ali Puteh kecewa apabila anaknya turut menjadi mangsa kecaman netizen berikut kemelut dirinya dengan kakak ipar, Nor Hidayah Amzah yang masih berlarutan sehingga ke hari ini.
Luah Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan, 35, perniagaannya turut menjadi bahan tempelak segelintir individu yang sewenang-wenangnya menuduh dirinya makan duit anak yatim.
“Bayangkan anak saya pergi sekolah orang ejek ‘bapa kau makan harta anak yatim’.
“Saya jual sambal elok-elok, tak kacau orang dan berniaga dengan isteri pun ada kata saya pakai duit anak yatim.
“Orang tak faham sebab itu mereka bercakap. Itulah saya kata, berhenti berbicara kerana perkara tersebut salah,” katanya dalam siaran langsung TikTok.
Begitupun, Ali bersyukur dikurniakan isteri yang memahami dan mampu menenangkan dirinya melalui tempoh sukar.
Bahkan, dedah adik kepada Allahyarham Abam Bocey itu, orang rumahnya yang banyak membantu menjelaskan bayaran saman kepada Hidayah.
“Saya menangis di bucu katil. Dia tenangkan saya dengan berkata ‘tidak mengapa saya ada. Kalau tak cukup duit, kita gadai barang kemas’.
“Tidak mengapa, kereta saya pun ada. Jom pergi jual,” ujarnya dalam nada sebak.
Menerusi siaran langsung tersebut, Ali juga menjelaskan tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai bapa saudara kepada anak arwah Abam iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey kerana menghormati keputusan mahkamah.
“Orang tanya saya, ‘anak arwah itu tanggungjawab dan anak saudara’.
“Saya dapat surat hadanah dari mahkamah, kami tidak boleh nak ambil anak itu tanpa sebab,” jelasnya.
Sebelum ini, Ali bertungkus-lumus melangsaikan bayaran saman terhadap Hidayah dengan pelbagai cara termasuk menjual motosikal dan hasil penjualan sambal.
Pada 18 Februari 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan terhadap wanita itu dalam Instagram, dua tahun lalu. – KOSMO! ONLINE