fbpx

Rumah baharu untuk lima beradik OKU siap Februari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im (lima kiri) bersama Yayasan Taqwa MAIWP ketika menyantuni keluarga berkenaan di Kampung Rumbia, Berserah, hari ini.

PETALING JAYA – Bantuan rumah baharu untuk lima beradik orang kelainan upaya (OKU) yang dilanda musibah selepas kediaman pusaka mereka musnah dalam kebakaran tahun lalu, dijangka siap pada hujung Februari ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar ketika menyantuni keluarga tersebut di Kampung Rumbia, Beserah dekat Kuantan, Pahang, hari ini.

Menurutnya, bantuan pembinaan rumah baharu ‘Bayt al-Rahmah’ itu dilaksanakan bersama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Keluarga ini telah diuji dengan musibah apabila rumah pusaka mereka musnah dalam kebakaran pada Mei 2023.

“Sebagai tanda simpati, agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah tampil membantu dengan
pembinaan rumah baharu ini yang bermula pada November 2023, dan sudah hampir 80 peratus siap.

“Yayasan Taqwa MAIWP menjangkakan penyerahan sepenuhnya rumah ini pada hujung Februari 2024,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan, keluarga terbabit terdiri daripada tujuh beradik dengan lima daripadanya OKU kategori lembam.

Lima beradik itu kini dijaga sepenuhnya oleh Nurul Aina Fitrah Abd Rani, 29, yang merupakan anak kelima dan kakak sulung mereka, Nur Azuraida, 41.

Pada masa sama, Mohd. Na’im bersama Yayasan Taqwa MAIWP turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada keluarga berkenaan ketika meninjau kerja-kerja pembinaan yang dijalankan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Pegawai Daerah Kuantan bersama pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta agensi Kerajaan Negeri atas kerjasama strategik menjayakan ziarah ini.

“Semoga bantuan yang dihulurkan dapat meringankan beban keluarga ini. Inilah yang saya mahukan semua agensi hal ehwal Islam Persekutuan memainkan peranan untuk membantu masyarakat yang memerlukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI