SEREMBAN – Seorang pengasuh taska di Nilai dekat sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya bayi perempuan berusia 10 bulan pada 5 Februari lalu.
Tertuduh, Norsham Ismail, 66, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicara selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Wanita itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa didapati menganiaya atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya cedera dengan cara menampar muka mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di ruang aktiviti Taska Widuri Bestari, Nilai kira-kira pukul 7.47 hingga 7.59 pagi, 5 Februari lalu,
Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz mencadangkan jaminan RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh dan wanita itu juga diminta tidak mendekati mangsa di samping mohon satu tarikh sebutan kes bagi serahan laporan perubatan mangsa.
Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan, A. Partheeban memohon satu jaminan paling rendah dan munasabah
Meor Sulaiman membenarkan wanita itu diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes pada 13 Mac ini. – KOSMO! ONLINE