JOHOR BAHRU – Seorang warga emas hilang arah tuju apabila perlu menjaga empat cucunya dalam keadaan dirinya tidak berdaya untuk mencari nafkah bagi membesarkan mereka.
Normah Asinar, 70, berkata, keadaan bertambah teruk apabila dia dan cucu-cucunya berusia antara tujuh bulan hingga 11 tahun dihalau dari rumah pusaka di Labis, Segamat pada awal bulan ini dan kini menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini.
Katanya, dia hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Negeri Johor sebanyak RM1,000 kerana sudah tidak larat mencari rezeki.
“Ketika tinggal di Labis, saya sebagai kerja tukang cuci di sebuah bank dan menjual cendol selain menanam ubi kayu di keliling rumah, tetapi di sini saya tidak tahu hendak buat apa.
“Ada masa terpaksa ikat perut dan makan nasi lima hari sekali. Keadaan bertambah rumit apabila cucu bongsu perlu menjalani empat pembedahan akibat sumbing,” katanya ketika ditemui di sini.
Terdahulu, Normah diziarahi oleh Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam yang menyerahkan sumbangan makanan dan keperluan.
Menurut Normah, pembedahan itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan kerana cucunya kerap demam kerana lahir tidak cukup bulan.
Tambahnya, dia buntu memikirkan untuk menghantar tiga cucunya ke sekolah kerana kekangan kewangan.
“Kalau boleh, saya mahukan sekolah yang ada asrama bagi memudahkan urusan,” katanya.
Ujar Normah, empat cucunya ditinggalkan kepadanya selepas ibu bapa mereka mempunyai masalah kehidupan.
Tambahnya, dia berterima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor kerana memberikan tempat tinggal kepada mereka lima beranak.
Sementara itu, Mas Imran berkata, pihaknya akan membantu cucu Normah untuk menyediakan kelengkapan sekolah selain mengemaskan rumah mereka bersama sukarelawan.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menghubungi Normah di talian 017-758 7639 atau menyalurkan bantuan melalui akaun CIMB miliknya di 7625701781.