KUALA LUMPUR – Gara-gara kurang makan selepas memakai pendakap gigi, keadaan tubuh penyanyi Aisha Retno yang kurus mendadak menyebabkan ada individu menuduhnya mengambil bahan terlarang.
Pemilik nama sebenar Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 23, berkata, perubahan fizikal yang ketara termasuk berwajah cengkung sebenarnya berpunca daripada rejim diet dijalani sejak akhir tahun lalu.
“Sejak dapat melayakkan diri ke separuh akhir Muzik Muzik ke 38 akhir tahun lalu saya semakin menjaga pola pemakanan dan kebetulan mula memakai pendakap gigi.
“Jadi secara tidak langsung, saya kurang makan sehingga beri kesan yang agak cepat, selain muka nampak sedikit cengkung, tetapi bukanlah bermakna saya menggunakan benda tak sepatutnya.
“Apabila didakwa perubahan ini disebabkan bahan terlarang, saya kena jelaskan sebab enggan tuduhan sebegitu membuatkan orang lain percaya,” katanya ketika ditemui pada acara Meet and Greet Paling Ikonik AJL 38 di Pasar Seni, baru-baru ini.
Aisha yang mempertaruhkan Sutera lagu ciptaan dan dendangannya sendiri mengakui bakal membawa 30 penari di pentas Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38) pada 3 Mac depan.
Malah dia juga akan menggayakan helaian daripada pereka fesyen yang menghasilkan busana untuk Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja Brunei, Teh Firdaus.
“Saya akan tampilkan ramai penari untuk persembahan di Axiata Arena nanti selain tidak sabar menggayakan busana sentuhan Teh Firdaus.
“Dia menghubungi saya bagi menjalinkan kolaborasi apabila menawarkan diri menaja pakaian di pentas AJL38, bahkan ini juga julung kali dia hasilkan rekaan baju untuk artis,” ujarnya.
Begitupun, penyanyi dan komposer berusia 23 tahun itu mendedahkan sedikit sebanyak persediaan menghadapi malam kemuncak pertandingan berprestij itu terjejas susulan kecederaan kakinya.
Katanya, senaman secara berlebihan menyebabkan tisu lembut pada bahagian terbabit cedera, namun kini sudah beransur pulih.
“Sebenarnya sudah dua minggu kaki sakit sakit sehingga mengganggu pergerakan sekali gus menyebabkan latihan dibuat ikut kesesuaian, namun sekarang sudah beransur baik.
“Walaupun proses pemulihan mengambil masa, saya harap menjelang AJL nanti semuanya sudah kembali okey,” ujarnya.
Pada peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM38) Disember lalu, Sutera yang juga ciptaan bersama komposer MFMF diangkat sebagai Lagu Terbaik. – KOSMO! ONLINE