KOTA BHARU – Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa mereka di Kampung Badang, di sini hari ini musnah dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah kediaman.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang itu semasa pembuat batik, Norhayati Ibrahim, 41, bersama suami, Zamzuri Jusoh, 47, dan tiga anak mereka sedang bersiap-siap untuk makan tengah hari.
Norhayati berkata, ketika berada di dapur, dia melihat api dari dalam bilik anaknya sebelum keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri bersama ahli keluarga yang lain.
“Saya keluar sehelai sepinggang dan tidak sempat menyelamatkan semua kelengkapan sekolah anak-anak termasuk pakaian dan buku teks. Enam pasang baju raya anak yang baru sampai tengah hari tadi turut terbakar,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kebakaran hari ini.
Norhayati memberitahu, paling menyedihkan, sejumlah kain putih yang belum dicanting batik milik majikannya turut musnah dan kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerugian lebih RM15,000. – KOSMO! ONLINE