PETALING JAYA – Dua bekas kakitangan sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di utara tanah air ditahan selepas disyaki menyeleweng wang hampir RM1 juta daripada institusi tersebut untuk tujuan peribadi sejak dua tahun lalu.
Sumber memberitahu, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an dipercayai ditahan secara berasingan kira-kira pukul 5.30 petang tadi di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Kuala Lumpur dan juga SPRM Perlis ketika diminta hadir memberi keterangan.
Kedua-dua suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut dari tahun 2022 hingga 2023.
“Suspek pertama menggunakan jawatan sebagai ‘Pegawai Khas’ kepada ketua pegawai kewangan IPTS tersebut untuk memindahkan wang daripada akaun IPTS ke akaun peribadi miliknya dan seorang lagi suspek.
“Jumlah pemindahan wang yang dilakukan adalah kira-kira 60 transaksi bank melibatkan hampir RM1 juta.
“Kesemua wang tersebut telah digunakan untuk tujuan peribadi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Suzeliyana Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Susulan penahanan itu, suspek pertama yang juga bekas ‘Pegawai Khas’ IPTS itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Suspek kedua pula dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar, Perlis untuk tujuan permohonan reman. -KOSMO! ONLINE.