fbpx

Budak lelaki maut, adik cedera ditimpa dinding runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan dua beradik bermain sebelum ditimpa dinding runtuh dalam kejadian di rumahnya di Kampung Padang Lalang Besah dalam mukim Tawar, Baling semalam.

BALING – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut akibat ditimpa batu bata daripada dinding yang runtuh dalam kejadian di rumahnya, di Kampung Padang Lalang Besah dalam mukim Tawar, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Wan Abdul Aziz Wan Mohd Sholehhuddin mengalami cedera parah pada anggota badan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tawar.

Sementara adik mangsa, Wan Mohd Baihaqi, 4, yang turut ditimpa runtuhan dinding yang baru dibina itu dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku ketika dua beradik itu bermain di kawasan tersebut dengan ibu mereka sedang memasak di kawasan berhampiran yang terletak kira-kira satu meter.

“Ibu mangsa dikatakan sudah beberapa kali memberi amaran dan menasihatkan dua anaknya itu supaya tidak bermain di sekitar kawasan pembinaan tambahan ruang dapur yang sedang dibina suaminya.

“Wanita terbabit juga menyuruh kedua-dua anaknya itu masuk ke dalam rumah tetapi mereka didakwa tidak mengendahkan kata-katanya dan bermain seperti biasa di luar rumah sebelum dia terdengar bunyi yang sangat kuat dari tempat mangsa bermain,” katanya, di sini hari ini.

Kata beliau, wanita itu kemudian mendapati seluruh belakang badan Wan Abdul Aziz ditimpa dengan bata dinding dan mengakibatkan pendarahan.

“Seorang lagi anaknya, Wan Mohd Baihaqi turut ditimpa dengan bata dinding di bahagian belakang badan, tetapi hanya mengalami kecederaan ringan .

“Dia terus meminta bantuan daripada jiran untuk menghantar kedua-dua anaknya ke Klinik kesihatan Tawar sebelum doktor mengesahkan Wan Abdul Aziz telah meninggal dunia,” ujarnya.

Menurutnya, ketika kejadian, bapa dua kanak-kanak terbabit bekerja di sebuah kilang.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI