ALOR SETAR – “Saya sedih dan masih tidak dapat melupakan tindakan arwah suami yang tetap mahu melindungi saya dan anak berusia lapan bulan ketika nampak sebatang pokok yang terbakar mahu tumbang ke arah kereta”
Demikian kata Nurhafizah Ahmad Zamri, 25, isteri kepada Allahyarham Mohd Robbil Adam Mohd Rizal, 27, yang meninggal dunia selepas kereta jenis Proton Saga BLM dinaiki mereka dihempap dahan pokok terbakar di Jalan Hutan Kampung, Kampung Bohor di sini kira-kira pukul 1.15 tengah hari tadi.
Menurut Nurhafizah, kejadian berlaku ketika dia dan beberapa ahli keluarga lain dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjamu selera di sebuah restoran berhampiran.
“Kami tiga beranak bersama kakak dan anaknya menaiki sebuah kereta dan baru sahaja bergerak keluar dari restoran sebelum ternampak sebatang pokok di bahu jalan dalam keadaan terbakar.
“Sebelum sempat saya nak sebut ada pokok terbakar, dahan pokok tersebut terus tumbang betul-betul di atas kereta tempat duduk pemandu. Sebelum itu, suami sempat sebut Allahuakhbar melindungi saya dan bayi perempuan kami, Hawa Raisya Aulia dengan sebelah tangannya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Katanya, kereta dipandu suaminya itu kemudian terbabas lalu melanggar sebuah kereta lain.
“Saya peluk anak kuat-kuat dan terus bawa anak keluar sebaik kereta berhenti, namun suami sudah tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu sebelum disahkan telah meninggal dunia,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dia hanya mengalami kecederaan ringan iaitu luka pada tangan, manakala bayi serta kakak dan anak perempuanya tidak cedera.
Sementara itu, katanya, arwah ada menunjukkan perubahan apabila kerap menyebut dia tidak akan dapat lagi berbual dengan saudara mara kerana mungkin akan pergi dahulu.
“Dia banyak kali cakap selepas ini tak boleh dah nak sembang dengan adik beradik dan saya tegur dia kenapa cakap macam itu, namun arwah hanya mendiamkan diri.
“Saya fikir arwah hanya bergurau, namun hari ini ternyata arwah pergi dahulu meninggalkan saya dan anak,” katanya.
Selain itu, katanya, anak tunggalnya juga meragam sejak kebelakangan ini dan hanya mahu dengan arwah.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1.17 tengah hari tadi.
“Mangsa tidak tersepit dan anggota bomba memadam kebakaran pokok serta membantu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) menguruskan mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE