fbpx

Anggota JSPT bantu wanita Thailand bersalin di tepi lebuh raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman video anggota JSPT membantu seorang wanita Thailand bersalin di tepi lebuh raya

PETALING JAYA – Seorang lelaki mampu menarik nafas lega selepas isterinya yang sarat mengandung selamat melahirkan cahaya mata mereka di dalam kereta di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) semalam.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam hantaran di Facebook berkata, pasangan warga Thailand itu berhenti di tepi jalan sebelum menahan kenderaan peronda polis (MPV) yang melalui kawasan berkenaan.

Katanya, tiga anggota terlibat dalam insiden cemas itu adalah Inspektor Mat Fauzi, Koperal Shahril dan Koperal Hariz Zulfadli dari EMPV Zon Utara (1) JSPT Bukit Aman semasa tugas rondaan OP Selamat 21.

“Pada awalnya, si suami telah menahan kenderaan dinaiki Inspektor Fauzi untuk mengiringi kenderaannya ke hospital berhampiran namun tidak kesampaian kerana isterinya bersalin di dalam kereta,” tulisnya.

Menerusi perkongsian video itu juga, dapat dilihat anggota bertugas sedang memantau keadaan serta mengawal lalu lintas sementara menanti ketibaan ambulans.

Pada masa sama, terdapat seorang wanita berada di bahagian pintu penumpang sambil menggendong bayi pasangan itu.

“Pegawai perubatan menaiki ambulans kemudian membantu ibu dan bayi perempuan itu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam perkongsian semalam.

Difahamkan, ibu dan anak dalam keadaan selamat dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.

“Tahniah diucapkan kepada Inspektor Mat Fauzi dan anggota yang terlibat atas pertolongan menjaga lalu lintas dan bantuan kepada pasangan keluarga ini.

“Semoga perbuatan tuan sekalian akan menjadi teladan kepada rakan pasukan yang lain,” ucapnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI