fbpx

Amalan beli undi bayangi pilihan raya Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYOKONG Prabowo Subianto menerima telur percuma semasa kempen pilihan raya di Jakarta pada 10 Februari lalu. – AFP

JAKARTA – Apabila suri rumah, Suharti pulang dari membeli barang dapur, beberapa petugas sebuah parti politik memberikan dia wang 100,000 rupiah (RM30.50) berserta sehelai baju- T dan meminta Suharti mengundi calon mereka pada pilihan raya Presiden Indonesia (pilpres) esok.

“Mereka meminta saya mengundi calon tertentu tetapi saya masih tidak tahu siapa yang akan saya undi.

“Apabila saya berada di dalam bilik mengundi nanti, saya akan mengundi mengikut gerak hati saya,” kata wanita berusia 53 tahun itu kepada AFP.

Pengundi, calon dan sukarelawan kempen memberitahu AFP bahawa mereka melihat banyak barangan percuma dan sampul berisi wang tunai diedarkan menjelang pilpres esok. Pilihan raya itu juga diadakan bagi memilih anggota Parlimen dan pentadbiran wilayah Indonesia.

Kira-kira 205 juta rakyat Indonesia berdaftar untuk mengundi dalam pemilihan di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu tahun ini. Badan pemantau pilihan raya Indonesia, Bawaslu menggesa orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti pembelian undi.

Bagaimanapun, rasuah masih menjadi masalah menjelang musim pilihan raya. Badan pemantauan rasuah Transparency International dalam laporannya pada 2023 mendakwa bahawa suruhanjaya anti-rasuah Indonesia telah ‘dilumpuhkan dengan teruk’

Parlimen pula dilihat sebagai salah satu institusi paling banyak kes rasuah di Indonesia, manakala badan pemantau Corruption Watch (ICW) berkata, sekurang-kurangnya 56 calon yang sebelum ini disabitkan kesalahan rasuah, masih bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Seorang lelaki yang hanya memberikan namanya sebagai Andri memberitahu AFP bahawa dia diminta oleh beberapa calon yang bertanding kerusi Parlimen untuk membantu mengagihkan wang dan barangan runcit bagi memancing pengundi.

Katanya, dia telah didekati kerana peranannya dalam kelab peminat bola sepak di Jakarta.

Lelaki itu kemudian memberitahu, dia menerima tugas tersebut.

“Saya biasanya mula (mengedarkan wang) kepada orang yang paling dekat dengan saya dahulu, dan kemudian kepada orang di kejiranan saya.

“Saya mengedarkan ratusan malah beribu-ribu sampul berisi wang, bergantung kepada jumlah yang diberikan oleh calon kepada saya,” kata lelaki berumur 37 tahun itu.

Walaupun Bawaslu berulang kali memberi amaran bahawa rasuah adalah dilarang, amalan itu masih berterusan.

“Ia masih berlaku kerana terdapat kelemahan dalam peraturan, manakala penguatkuasaan undang-undang juga tidak cukup menyeluruh,” kata penyelidik ICW, Seira Tamara kepada AFP.

Calon pilihan Pilpres 2024, Prabowo Subianto telah secara terbuka menangani isu itu. Beliau menggesa orang ramai untuk mengambil hadiah yang diberikan tetapi mengundi calon pilihan sendiri.

“Kalau ada orang janjikan duit, terima saja, itu duit kamu, duit rakyat. Bagaimanapun, apabila mengundi, undilah mengikut pilihan sendiri,” kata beliau baru-baru ini.

Amalan itu bermula pada peringkat pengambilan di mana calon mesti berbelanja untuk mengesahkan pencalonan mereka, kata Tamara.

Seorang wanita yang bertanding untuk kerusi Parlimen pada 2019 memberitahu AFP dengan syarat namanya tidak disiarkan bahawa dia membelanjakan 250 juta rupiah (RM75,263) untuk membeli undi tetapi masih kalah.

“Sekarang saya mengubah taktik berkempen. Saya melawat rumah dari pintu ke pintu dan mempromosikan diri saya dan program saya,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI