fbpx

Aktiviti ‘hacktivist’ jadi fokus Kajian Separuh Penggal KPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled Nordin (dua kiri) ketika gimik Pelancaran Kick-off Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KPP) di Wisma Perwira ATM Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini. Foto FAUZI BAHARUDINKOSMO!

KUALA LUMPUR – Penggodaman serta serangan siber hasil operasi atau dikenali sebagai ‘hacktivist’ akan menjadi satu daripada lima fokus sepanjang Kajian Separuh Penggal (KSP) Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia merupakan persediaan dan pembangunan bagi Angkatan Masa Hadapan untuk mendasari KPP atau pelan-pelan strategik yang menyokongnya.

Ujarnya, sudah menjadi keperluan untuk menubuhkan angkatan khusus yang memberi tumpuan kepada keselamatan siber, ancaman digital serta elektromagnetik pertahanan.

“Ancaman bukan tradisional adalah sesuatu yang berisiko memberi impak besar kepada keselamatan dan pertahanan sesebuah negara.

“Malah mampu melumpuhkan aktiviti ekonomi, perjalanan pentadbiran kerajaan, sistem perubatan dan pengangkutan serta banyak lagi impak serius.

“Malaysia tidak boleh ketinggalan dan terkebelakang. Maknanya suatu hari nanti kita memang akan ambil anggota tentera yang pandai hebat boleh jadi ‘hackers’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Majlis “Kick-off” Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan, di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Anggota Tentera Malaysia (ATM), di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, penggunaan data raya atau big data dan Kepintaran Buatan atau AI turut menjadi fokus dalam KSP KPP yang dijangka siap pada suku keempat tahun ini.

Jelasnya, terdapat lima fungsi gabungan teknologi AI dan Big Data dalam membantu Mindef dan ATM iaitu pemantauan ancaman, analisis trend, penjejakan prestasi, pemacu transformasi dan platform titik sentuhan.

“Tiga lagi fokus dalam KSP KPP yang akan diberi perhatian adalah pembangunan dan perkembangan industri pertahanan, pemerkasaan anggota simpanan dan diplomasi pertahanan,” katanya.

Terdahulu, KPP diluluskan di Parlimen pada tahun 2019 dan telah dilaksanakan mengikut perancangan semenjak tahun 2020 sehingga kini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Dokumen ini menetapkan bahawa satu KSP perlu dilaksana menjelang tahun 2025 untuk menilai pencapaian pelaksanaan KPP serta membuat penambahbaikan bagi meneruskan pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

KSP KPP juga perlu dilaksanakan kerana perkembangan geopolitik yang telah banyak berubah sejak KPP diluluskan pada tahun 2019 yang memberi kesan kepada Malaysia khususnya dan dunia amnya.

Sebagai KPP Malaysia yang pertama, kertas ini menerangkan pendirian kerajaan berkaitan pertahanan negara, membentangkan perspektif strategik yang mempengaruhi keselamatan negara dan menggariskan satu Kerangka Pertahanan Negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI