fbpx

UTeM buka pusat pembelajaran di Sri Lanka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sekitar majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTeM dan CMT yang berlangsung di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini.

KEPAKARAN dan penyerlahan prestij Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai salah sebuah universiti terbaik dunia kian melebar merentas sempadan pendidikan tinggi global.

Ini terbukti apabila UTeM bakal turut memperluaskan wilayah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi di Sri Lanka menerusi usaha pembukaan sebuah pusat pembelajaran di negara itu.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, UTeM sentiasa bergerak maju ke hadapan dan ini merupakan antara inisiatif mereka dalam usaha pemerkasaan pengantarabangsaan TVET.

Ujarnya, pusat pembelajaran tersebut iaitu Pusat Pembelajaran UTeM di Sri Lanka nanti merupakan kerjasama dengan salah sebuah institusi pendidikan tinggi di sana iaitu College of Management and Technology Campus Sri Lanka (CMT).

“Penubuhan pusat pembelajaran berkenaan bertujuan untuk pelaksanaan dan penawaran program berkaitan TVET antara dua universiti.

“Pada masa sama, ia berperanan sebagai pusat aktiviti akademik serta penyelidikan bersama antara UTeM dan CMT di negara tersebut,” terangnya.

Usahasama itu nanti akan membolehkan penganjuran aktiviti bersama seperti pertukaran staf akademik dan pelajar, penganjuran aktiviti seperti seminar, bengkel serta kerjasama berkaitan pengajaran dan penyelidikan.

Sehubungan itu, bagi menzahirkan kerjasama strategik tersebut, UTeM telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CMT baru-baru ini bertempat di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

Majlis pemeteraian MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim bersama dengan Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT), Prof. Dr. Syaiful Rizal Abdul Hamid.

Sementara itu, pihak CMT pula diwakili oleh Pengerusi CMT, Dr. A.M. Jameel dan Pengarah Eksekutif CMT, P. M. Naleem.

Tambah Massila, menerusi kerjasama strategik tersebut, beberapa agenda lain turut akan dijayakan bersama seperti pertukaran staf akademik dan pelajar dalam perkembangan akademik untuk kedua-dua pihak.

“Pada masa yang sama turut akan diadakan penganjuran aktiviti bersama seperti seminar, bengkel dan perkongsian bahan yang berkepentingan secara bersama.

“Di samping itu, kedua-dua pihak turut akan menjayakan kerjasama berkaitan pengajaran dan penyelidikan dalam bidang berkepentingan bersama,” katanya lagi.

Jelasnya, pengantarabangsaan pengajian tinggi merupakan salah satu inisiatif strategik yang perlu diberikan penekanan bagi memartabatkan UTeM di persada dunia.

Ujarnya, kolaborasi strategik ini pasti memberikan banyak kelebihan dan manfaat dalam bertukar kepakaran di antara dua negara amnya dalam bidang TVET.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI