JOHOR BAHRU – Suspek yang memecahkan cermin kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner dalam kejadian gaduh di Kilometer 139.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara berhampiran Pagoh, Muar sudah diberkas.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, lelaki warga asing berusia 40-an itu ditahan pada pukul 3.30 pagi di Genting Highland, Bentong, Pahang, hari ini.
Ujarnya, kenderaan yang digunakan suspek ketika kejadian turut dirampas.
“Polis Kontinjen Johor mengesahkan membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 40-an untuk siasatan berhubung penularan video tular kejadian khianat dengan cara memecahkan cermin kenderaan.
“Tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor pada 3.30 pagi, 12 Februari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan tidak berpuas hati dihalang ketika menggunakan laluan kecemasan di lebuh raya menjadi punca pergaduhan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 1.58 tengah hari ketika pemandu Toyota Fortuner warga tempatan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Katanya, pemandu tersebut telah ternampak sebuah kereta Mitsubishi Lancer bernombor pendaftaran Singapura berwarna merah yang dipandu suspek menggunakan laluan kecemasan dan bertindak menghalang kenderaan suspek.
“Akibat daripada tindakan itu menyebabkan mulut antara mangsa dan suspek sebelum lelaki warga asing mengetuk cermin kenderaan lelaki warga tempatan menggunakan sebatang tongkat.
“Suspek terus beredar dari lokasi kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE