fbpx

Rosma buktikan pelajar bidang kesihatan bukan hanya belajar 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gadis manis ini serius mahu menceburi bidang farmasi.

FARMASI boleh dikatakan bukanlah satu bidang yang begitu popular jika dibandingkan dengan perubatan.

Kebanyakan dalam kalangan masyarakat lebih gemar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan demi mengejar cita-cita untuk menjadi doktor.

Namun, tidak bagi Rosma Nurizzaty Mohd Noor. Meskipun Rosma, 22, layak untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, dia tidak memilih untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, gadis manis itu lebih memilih untuk mengikuti pengajian farmasi bagi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang ahli farmasi.

“Kebanyakan rakan saya setelah tamat pengajian peringkat Asasi Sains di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dengkil, Selangor masing-masing ingin menjadi doktor dan memilih bidang perubatan.

“Sebaliknya saya memilih bidang farmasi sebagai pilihan pertama kerana ingin membina kerjaya dalam bidang ini meskipun kerjaya ini tidak popular berbanding doktor,” jelasnya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Farmasi di Universiti Malaya (UM).

Tambahnya, sehingga sekarang, masih ada yang bertanya kenapa dia tidak mengambil bidang perubatan sebaliknya memilih farmasi dan jawapan diberikan Rosma adalah dia memang meminati jurusan farmasi.

Mengulas sebab utama dia memilih bidang farmasi, Rosma menjelaskan, sebelum ini dia pernah bekerja di sebuah farmasi di kampungnya di Batu Kurau, Perak setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia.

Ketika itu barulah dia mengetahui akan kewujudan peluang pekerjaan dalam bidang farmasi.

“Sebelum ini, saya tidak mengetahui akan kerjaya sebagai ahli farmasi kerana sering didedahkan peluang kerjaya lain seperti doktor, polis dan lain-lain lagi.

“Selepas bekerja di situ barulah saya sedar tentang kerjaya ahli farmasi dan mula meminatinya,” jelas Rosma.

ROSMA juga aktif dalam sukan di kampus

Untuk masa hadapan, Rosma juga menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian sehingga peringkat tertinggi bagi membolehkannya menjadi sebahagian tenaga pengajar atau pensyarah dalam bidang itu.

Rosma mengakui bahawa bidang itu kekurangan tenaga pengajar dan banyak pensyarahnya adalah dari luar negara.

“Selain itu, saya juga sebenarnya suka berniaga dan jika diizinkan saya mengimpikan untuk membuka rangkaian farmasi sendiri pada masa hadapan.

“Malah, melalui cara ini juga saya boleh menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan,” terangnya.

Tambahnya, selain membuka farmasi sendiri dia juga mengimpikan untuk membuka kedai menjahit serta juga kedai roti dan pastri.

Ini kerana dia turut meminati kedua-dua kemahiran tersebut dan Rosma sendiri pernah mengikuti kelas menjahit.

Bahkan, dia kini boleh menjahit dan menghasilkan baju sendiri.

Meskipun sibuk sebagai pelajar, Rosma juga sebenarnya aktif di kampus.

Rosma juga ternyata mempunyai bakat kepimpinan.

Dia kini memegang jawatan Presiden Jawatankuasa Tindakan Kolej (KK6) dan juga Pengurus Projek Persatuan Farmasi UM.

Terangnya, melalui penglibatannya dalam aktiviti luar kelas dirinya dapat menimba pelbagai ilmu baharu secara tidak langsung.

“Tujuan saya menyertai banyak program dan aktiviti adalah untuk mencuba benda baharu dan mengenali lebih ramai orang.

“Selain itu, saya juga ingin menimba lebih banyak ilmu dan pengalaman di samping ingin buktikan pelajar dalam bidang kesihatan bukan hanya belajar 24 jam tetapi juga aktif aktiviti kurikulum, sukan dan kepimpinan,” katanya.

Rosma memberitahu, dia juga sebenarnya aktif dengan aktiviti sukan.

Antara sukan yang sering disertai termasuk bola tampar, ragbi dan larian.

“Untuk bola tampar saya pernah mewakili UM Pharmacy (NPSC) dan kolej kediaman bagi Sukan Mahasiswa Universiti Malaya (SUKMUM).

“Begitu juga untuk sukan ragbi saya terpilih menyertai pasukan ragbi wanita UM,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI