fbpx

NGO bantu tiga beranak hilang tempat berteduh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUZALIZA Musa (kanan) menyantuni dua kanak-kanak bersama bapa mereka (bertongkat) selepas membantu mereka mendapatkan tempat penginapan di Nilai, Seremban hari ini.- Foto oleh NUR SHARIEZA ISMAIL./ KOSMO!

SEREMBAN – Nasib tiga beranak yang hilang tempat tinggal selepas rumah yang didiami mereka dekat Kampung Jijan Tengah dirobohkan dipercayai ekoran konflik keluarga pada Sabtu lalu, mendapat perhatian dua buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

NGO Sepakat Nilai Negeri Sembilan bersama pertubuhan persendirian, Semarak Resources Centre (SRC) tampil membantu tiga beranak itu dengan menempatkan mereka di sebuah hotel berdekatan Nilai di sini secara sementara.

Pengerusi Sepakat Nilai Negeri Sembilan, Syed Alwi Syed Jaafar berkata, selepas mendapat maklumat berkenaan keadaan yang dihadapi tiga beranak itu, pihaknya segera membantu mendapatkan tempat penginapan sementara.

“Kasihan melihat dua beradik yang berusia 10 tahun dan tujuh tahun itu yang terpaksa berdepan dengan situasi tersebut.

“Bimbang akan keselamatan dua kanak-kanak perempuan tersebut ditambah pula bapa mereka yang baru ditimpa kemalangan, jadi kami tampil membantu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Difahamkan, dua kanak-kanak perempuan itu sebelum ini dijaga oleh nenek mereka yang kemudiannya meninggal dunia akibat kanser pada Oktober tahun lalu.

Sehubungan itu, kedua-duanya selepas ini akan diletakkan dibawah pemantauan dan perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Pengurus SRC, Muzaliza Musa berkata, pihak JKM telah membenarkan pihaknya dan Sepakat Nilai Negeri Sembilan untuk melawat dua kanak-kanak itu yang akan ditempatkan sementara di rumah ibu angkat mereka di Salak Tinggi, Selangor.

“JKM juga memberi tempoh selama sebulan kepada bapa kanak-kanak itu mendapatkan rumah sewa. Jika gagal, kemungkinan JKM akan meletakkan semula kanak-kanak itu di bawah jagaan mereka sebelum hal berkaitan penjagaan diputuskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI