SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menerima sumbangan wang berjumlah RM30 juta bagi membantu rakyat Palestin terutama menjelang Ramadan ini.
Sumbangan itu disalurkan 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan individu perseorangan pada majlis Makan Malam Amal Untuk Gaza di sini, malam tadi.
Presiden MAPIM, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya akan memfokuskan isu keperluan bekalan makanan dan pembinaan hospital di Gaza.
Jelas beliau, warga Palestin kini berdepan masalah terputus bekalan makanan dan ia menjadi tumpuan utama kita terutama menjelang bulan puasa nanti.
“Selain itu, MAPIM akan mengasaskan hospital di sebuah tapak di bandar Gaza dengan meneliti semua kos dan bahan binaannya. Justeru, kita berharap genjatan senjata akan berlaku bagi memudahkan bantuan segera disalurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan Malaysia,” katanya ketika ditemui pada program itu.
Selain bantuan wang, sebuah NGO turut menyumbang lima buah ambulans bagi kegunaan pasukan perubatan di wilayah bergolak tersebut.
Tambah Mohd. Azmi, beliau amat menghargai keprihatinan semua pihak terlibat dan kutipan itu terbesar diterima MAPIM dalam satu malam setakat ini.
“MAPIM mahu mengumpul sebanyak mungkin sumbangan bagi membantu rakyat Palestin yang sudah kehilangan 28,000 nyawa terutama wanita dan kanak-kanak,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE