fbpx

‘Malam Saari Amri’ UK’s Slam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAMANI dan Amir, dua vokalis yang sinonim dengan lagu-lagu balada karya komposer ulung, Saari Amri. – SADDAM YUSOF

GAMIT memori syahdu! Barangkali itu dirasai lebih 5,000 penonton yang hadir pada konsert UK’Slam Musical yang menggabungkan dua band terkenal era 1990-an iaitu UK’s dan Slam pada 3 Februari lalu.

Julung kali berkongsi pentas di Stadium Malawati, Shah Alam, dua kumpulan popular itu berbagi energi dalam melontarkan lebih 30 buah lagu. Manisnya pada malam tersebut, UK’s dan Slam sama-sama mendendangkan rangkaian lagu popular ciptaan komposer legenda, Saari Amri.

Tirai konsert dibuka oleh UK’s dengan salah satu berentak pop mereka iaitu Si Jantung Hati. Persembahan diteruskan dengan rangkaian lagu hits UK’s seperti Untuk Apa, Cintaku, Kekasih Ku di Menara, Rondo Cinta Buta, Kau Satu-Satunya, Pahit Akan Manis Akhirnya, Satu Lilin Sehening Malam, Di Luar Kemampuanku dan Kembali Mencari.

Selain Amir, UK’s turut dianggotai Rozdenil Toni (gitar), Mohamad Saleh Mohd Alias (bass), Amiruddin Shariff (dram) dan Mustafa Kamal Ahmad @ Mus Satira (gitar).

AMIR UK’s mendedikasikan konsert UK’s Slam Musical buat Saari Amri yang banyak berjasa mengharumkan nama sejak awal memasuki dunia muzik hingga kini.

Akustik

Hampir sejam persembahan, Slam menggamatkan pentas Stadium dengan menyampaikan lagu Kembali Merindu, Mentari Muncul Lagi, Kita Terpaksa Bermusuhan, Kurnia dan Maria Mariana.

Zamani yang lincah di pentas pada malam tersebut diiringi dengan empat orang anggota Slam lain iaitu Shah selaku gitaris, Eddie Ahmad (keyboard), Nor Azli Masrani (bass) dan Othman Khalid (dram).

Terus menghangatkan acara, Zamani dan Amir berpadu suara menerusi segmen akustik dengan mendendangkan lagu seperti Jika Kau Rasa Gentarnya, Seksa, Nur Kasih, ‘medley’ Sebak dan Manisnya Rindu.

Tidak terhenti di situ, emosi syahdu penonton terus terbuai dengan persembahan lebih bertenaga menerusi lagu lagu hits sepanjang zaman seperti Buat Seorang Kekasih, Siapa Yang Rampas Cintaku, Kembali Terjalin, Bila Diri Disayangi, Gerimis Mengundang dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.

Lagu-lagu milik dua kumpulan ini sememangnya tiada tandingan. Perkara dibuktikan setiap kali Amir mahupun Zamani menghalakan mikrofon ke arah peminat, pasti nyanyian akan disahut.

ZAMANI lincah sepanjang beraksi menghiburkan penonton.

Memori

Bagi peminat setia dua kumpulan ini, konsert yang berlangsung selama tiga jam itu meninggalkan memori manis dan berbaloi buat mereka yang menanti konsert berskala besar sebegitu.

Bagi Amir atau nama sebenarnya, Mohd Azmir Mohammad Yusuf, 55, berkata, konsert tersebut merupakan satu penghormatan buat Saari yang banyak menghasilkan karya popular sepanjang tiga dekad pembabitan bersama UK’s dan Slam.

TANPA lagu-lagu gubahan Saari Amri, Zamani dan Amir UK’s mungkin tidak seperti yang dikenali peminat seperti hari ini.

Saari Amri

“Agak lama tidak muncul dengan konsert berskala besar sebegini.

“Terima kasih kerana telah menyokong Uk’s dan Slam sejak 30 tahun lalu.

“Konsert ini adalah ‘malam Saari Amri’ kerana hampir 90 peratus daripada 30 buah lagu yang kami sampaikan hari ini adalah ciptaannya,” ujarnya.

Sementara, Saari yang dijemput ke pentas melahirkan rasa terharu apabila konsert tersebut menggabungkan dua kumpulan terkenal itu sekaligus menjadi ruang penghormatan pada lagu-lagu ciptaannya dulu.

“Rasa bangga kerana karya-karya ciptaan saya masih diterima dan diminati pencinta muzik dalam kalangan generasi muda, terima kasih,” tuturnya terharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI