PETALING JAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan walaupun berada dalam kerajaan bersama DAP, namun idealisme parti tersebut tetap dijaga.
Jelas Timbalan Menteri Kerja Raya itu, jangan kerana sudah berkawan (bersama DAP), maka perkara yang salah hanya akan dibiarkan.
“Bila ada kenyataan pimpinan DAP yang jadi isu dan ramai berpendapat mereka itu tidak betul, saya perlu tegur. Itu maknanya saya terus ‘peka bukan pekak’.
“Jangan kerana berkawan, maka hal yang salah pun dibiarkan.
“Idealisme tidak digadai hanya kerana berada dalam Kerajaan Madani yang sama,” jelas beliau dalam hantaran terbarunya sebentar tadi.
Sebelum ini, Menteri Perumahan Karajaan Tempatan Nga Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan telah mencadangkan untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.
Bagaimanapun, ia mengundang kritikan pelbagai pihak yang mendakwa cadangan berkenaan boleh menimbulkan ketidakharmonian kaum di negara ini.
Terdahulu, UMNO dalam kenyataan menolak sekeras-kerasnya cadangan tersebut, dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu. – KOSMO! ONLINE.