KUALA LUMPUR – “Saya sangka budak-budak main mercun, rupanya bunyi letupan kebakaran”.
Demikian kata seorang penduduk dikenali sebagai Azlina, 51, yang terkejut melihat beberapa rumah di tingkat 17, blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras di sini terbakar kira-kira pukul 8.45 malam tadi.
“Saya berada di hadapan rumah ketika itu dan terkejut mendengar letupan. Saya sangka bunyi mercun, rupanya rumah terbakar.
“Saya terus bergegas ambil video dan kongsi di kumpulan WhatsApp untuk memberitahu penduduk di bawah blok itu,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk di tingkat 10 blok 70, Syed Aizi Syed Tuah, 38, berkata, dia menyedari kejadian tersebut pada pukul 9 malam menerusi hantaran di kumpulan WhatsApp.
“Saya terus intai tingkat atas dan nampak api sedang marak. Saya bersama isteri terus kejutkan anak-anak dan lari turun ke bawah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE