fbpx

Harimau belang muncul lagi di Ulu Kuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Kampung Ulu Kuang dekat Chemor di sini, kembali dilanda kebimbangan apabila kelibat harimau belang sekali lagi ditemui semalam.

IPOH – Penduduk Kampung Ulu Kuang dekat Chemor di sini, kembali dilanda kebimbangan apabila kelibat harimau belang sekali lagi ditemui semalam.

Penemuan terbaru itu selepas seekor harimau belang jantan dinamakan Yob Kuang ditangkap kelmarin, setelah memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Seorang penternak lembu, Mohamed Khairi Shafiei, 63, berkata, haiwan pemangsa itu dilihat pada jarak kira-kira tujuh meter ketika melintas kenderaan dinaikinya bersama dua pekerja sekitar pukul 7 malam.

Katanya, dia yang mengusahakan ternakan lembu sejak lima tahun lalu dalam perjalanan untuk melihat haiwan ternakan di ladang sawit berhampiran.

“Saya segera melaporkan penemuan mengejutkan itu kepada Perhilitan dan tinjauan pihak tersebut di lokasi kejadian pagi tadi, menemukan tapak kaki disyaki harimau belang.

“Difahamkan, saiz tapak kaki harimau belang itu hampir sama dengan harimau yang ditangkap baru-baru ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohamed Khairi, dia pernah kehilangan ternakan sebelum ini namun tidak mengesyaki ia angkara binatang buas itu, tambahan lagi tiada sebarang aduan diterima daripada pekerjanya.

“Pekerja tidak pernah cerita pun jika ada jumpa tapak kaki harimau atau bangkai lembu. Selepas lihat depan mata, dia pun tak berani lagi untuk turun ke ladang.

“Jadi, buat sementara waktu ini, saya tidak galakkan dia pergi ke ladang berseorangan. Saya tidak mahu ada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan ada menerima aduan berkaitan harimau belang itu.

Katanya, lokasi penemuan terbaru itu pada jarak kira-kira satu kilometer dari perangkap yang dimasuki harimau jantan seberat 156 kilogram, kelmarin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI