LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui saingan memburu kejuaraan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini semakin sengit selepas pasukannya berjaya melakar kemenangan 3-1 ke atas Burnley awal pagi semalam.
Menurut Klopp, ada lima pasukan yang berpotensi untuk bergelar juara EPL berdasarkan prestasi luar biasa yang dipamerkan sepanjang musim seperti Manchester City, Aston Villa, Arsenal dan Tottenham Hotspur.
“Saya sudah jangkakan perkara ini kerana saingan antara semua pasukan cukup sengit. Anda boleh lihat bagaimana Tottenham turut bangkit melakar kemenangan pada aksi bertemu Brighton dan Villa pula cukup konsisten.
“Mungkin pada bulan lepas kita boleh lihat hanya Liverpool yang mendominasi carta liga, tetapi kali ini situasi berbeza apabila Arsenal dan City pula cuba untuk bangkit. Ini adalah cabaran buat pemain dan saya harap pemain dapat kekal fokus,” katanya.
Pada perlawanan di Anfield semalam, Liverpool berjaya meraih tiga mata hasil jaringan Diogo Jota, Luis Diaz dan Darwin Nunez manakala pasukan pelawat mendapat gol saguhati menerusi Dara O’Shea.
Mengulas mengenai aksi tersebut, Klopp mengakui bangga dengan anak-anak buahnya tetapi tidak berpuas hati apabila pemain utama, Trent Alexander-Arnold terpaksa dikeluarkan awal kerana kecederaan.
“Kami agak bergelut selepas Arnold terpaksa dikeluarkan tetapi pujian wajar diberikan kepada Curtis Jones kerana dapat bermain di posisi Arnold dengan baik. Perlawanan ini tidak semudah yang disangka tetapi pujian wajar diberikan kepada pemain,” katanya. – AGENSI