MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui bahawa tidak terkejut apabila menyaksikan penggempur utamanya, Erling Haaland kembali menemui sentuhan gol selepas berehat agak lama akibat masalah kecederaan.
Pemain antarabangsa Norway itu terlepas hampir dua bulan aksi bersama City apabila mengalami kecederaan patah salah satu tulang pada kakinya, namun dia kembali mencetak nama sebagai penjaring ketika City meraih kemenangan 2-0 ke atas Everton kelmarin.
Haaland tidak meledak sebarang gol sejak 28 November sebelum mengalami kecederaan itu pada 6 Disember ketika menentang Aston Villa dan hanya kembali beraksi pada 31 Januari ketika menentang Burnley.
“Saya tidak boleh bayangkan bagaimana selama dua bulan dia terpaksa berhenti menggerakkan badannya di padang dan kini dia kembali semula seperti sebelum ini.
“Saya sentiasa memberitahunya supaya mengambil sikap positif. Gol pertama mungkin dia tidak begitu kemas dalam kawalan bola, tetapi sentuhan penyudah untuk gol tersebut serta gol kedua adalah menakjubkan.
“Sangat penting buat kami untuk kembali mendapatkan khidmat Haaland ketika ini,” kata Guardiola.
Dua jaringan tersebut menyaksikan Haaland mengumpul 16 gol musim ini dan menyaksikan dia melonjak ke kedudukan teratas senarai penjaring terbanyak selepas terikat dengan Mohamed Salah pada angka 14 gol sebelum ini.
Mengulas lanjut, Guardiola mengakui sudah menjangkakan aksi yang sukar bakal dihadapi City menentang Everton kali ini, namun kemenangan tersebut sudah cukup melegakannya. – AGENSI