LONDON – Arsenal terus mencabar kelompok teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas melakar kemenangan bergaya 6-0 ke atas West Ham di Stadium London sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad The Gunners kendalian Mikel Arteta terpaksa menunggu pada minit ke-32 untuk meraih jaringan pembukaan hasil tandukan William Saliba menerusi sepakan penjuru.
Jaringan tersebut menaikkan semangat pasukan pelawat untuk menggandakan asakan dan berjaya mendapatkan gol kedua menerusi sepaskan penalti yang berjaya disempurnakan Bukayo Saka pada minit ke-41.
Momentum tersebut diteruskan apabila seorang lagi pemain pertahanan, Gabriel turut mencetak nama selaku penjaring juga menerusi sepakan penjuru berselang tiga minit kemudian.
Skuad The Hammers bertambah derita apabila Leandro Trossard meledak gol keempat sebelum wisel penamat babak pertama ditiupkan pengadil.
Bersambung pada separuh masa kedua, Arsenal dilihat terus ghairah dalam usaha melebarkan kelebihan jaringan dengan Saka membuktikan status selaku ayam tambatan pasukan apabila meledak gol kedua peribadi pada minit ke-63.
Bekas kapten West Ham, Declan Rice turut menjadi duri dalam daging buat pasukan tuan rumah apabila menjaringkan gol cantik pada minit ke-65 dengan keputusan 6-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Arsenal kini menduduki tangga ketiga EPL di belakang Manchester City dengan Liverpool masih gah mendahului carta liga. – KOSMO! ONLINE