JAKARTA – Sejak beberapa bulan lalu, Erfin Dewi Sudanto yang berusia 47 tahun cuba menjual buah pinggangnya, lapor saluran berita Al Jazeera hari ini.
Dia merupakan salah seorang daripada beribu-ribu calon yang bertanding dalam pilihan raya majlis perundangan wilayah Indonesia pada Rabu ini.
Erfin berharap dapat mengumpul dana sebanyak AS$20,000 (RM95,300) untuk membantu membiayai kempen politiknya.
“Ini bukan sekadar sensasi. Saya serius. Saya tiada harta. Satu-satunya cara (untuk membiayai kempen saya) ialah menjual buah pinggang saya,” kata Erfin yang mewakili Parti Amanat Nasional di Banyuwangi Jawa Timur kepada Al Jazeera selepas rayuannya tular di media sosial.
Kos bertanding dalam pilihan raya Indonesia pada tahun ini dijangka lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Walaupun beberapa parti politik biasanya memberikan sedikit bantuan untuk logistik dan saksi dalam mengawasi pengiraan undi, calon mesti mencari wang tambahan untuk bahan kempen lain.
Erfin menganggarkan dia memerlukan sebanyak 781 juta rupiah (RM238,250) dengan sebahagian besarnya digunakan untuk memberi ‘tip’ bagi mendapatkan sokongan pengundi.
Dalam kata lain, dia membeli undi orang ramai. Pembelian undi tegas dilarang di bawah undang-undang Indonesia namun amalan itu tetap berleluasa.
“Saya secara peribadi tidak mahu membeli undi. Tetapi ia berakar umbi dalam masyarakat kita. Sekurang-kurangnya seorang calon perlu menyediakan 50,000 rupiah (RM15) hingga 100,000 rupiah (RM30) kepada setiap pengundi untuk menang,” kata Erfin.
Katanya, pembelian undi berterusan kerana kurangnya pemantauan oleh pegawai pilihan rya dan dia tiada pilihan selain menyertainya. – AGENSI