fbpx

Budak 9 tahun jadi penyelamat dua keluarga nyaris rentung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA buah rumah di Jalan Alor Gajah, Melaka musnah dalam kebakaran pagi tadi. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

ALOR GAJAH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun menjadi penyelamat dua buah keluarga daripada terperangkap dalam kebakaran di kediaman mereka di Lorong Zakaria, Jalan Alor Gajah dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.20 pagi itu, kesemua lapan mangsa berjaya menyelamatkan diri selepas kanak-kanak tersebut menjerit memberitahu bahagian dapur rumahnya terbakar.

Bapa saudaranya, Muhammad Ridzuan Jasmi 17, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di ruang tamu sebelum dikejutkan anak saudaranya itu.

“Dia beritahu dapur terbakar, saya terus capai selimut dan basahkannya dengan air untuk nak cuba padamkan api.

“Tapi api marak dengan sangat cepat dan jiran belakang rumah suruh saya tutup suis utama elektrik sebelum kami semua keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Muhammad Ridzuan memberitahu, ketika kejadian, dia dan lima anak saudaranya berusia sembilan tahun hingga 17 tahun berada di rumah, manakala ahli keluarga yang lain keluar bekerja.

“Mujurlah anak saudara saya pergi ke dapur, kalau tidak, tak tahulah apa nasib kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, sebuah lagi keluarga, Asnita Asmadi, 20, dan ibu berusia 58 tahun turut bersyukur sempat menyelamatkan diri selepas terdengar jeritan jirannya.

“Masa kejadian saya sedang memasak sebelum terhidu bau asap serta jeritan jiran memberitahu rumahnya sedang terbakar.

“Dalam keadaan panik, saya segera hubungi bomba dan meminta semua untuk keluar dari rumah. Cuaca yang panas dan angin kuat menyebabkan api marak dengan sangat cepat,” ujarnya.

Dalam pada itu Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Khusairy Deraman berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.23 pagi.

Katanya, seramai 18 anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan BBP Cheng dikejarkan ke lokasi sebelum tiba lima minit kemudian.

“Sebaik tiba kita dapati dua rumah didiami 12 individu daripada dua buah keluarga terbakar 90 peratus dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 12 tengah hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI