fbpx

Aliran trafik sibuk menghala keluar Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aliran trafik perlahan memasuki bandar Gua Musang hari ini. FOTO AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

GUA MUSANG – Laluan menghala ke bandar Gua Musang sesak dengan kenderaan ekoran perantau mula bergerak pulang ke ibu negara sejak pagi tadi.

Tinjauan Kosmo! mendapati, kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Kuala Lipis semakin bertambah dan bergerak perlahan ketika melalui lampu isyarat di bandar Gua Musang dan kawasan pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama.

Seorang pengguna, Siti Nur Aina Zahari, 37, berkata, aliran trafik perlahan di beberapa kawasan dari Kuala Krai menuju ke Gua Musang, namun keadaan masih terkawal.

Katanya, rata-rata anak Kelantan mahu pulang ke Kuala Lumpur selepas pulang ke kampung sempena cuti sekolah dan perayaan Tahun Baharu Cina.

“Saya bertolak dari Kota Bharu pada pukul 9 pagi tadi dan tiba di bandar ini pada pukul 1 tengah hari tadi.

“Saya sempat berhenti berehat di Hentian Rehat Dan Rawat (R&R) Rantau Manis, Rantau Manis di sini dan kawasan itu dipenuhi dengan banyak kenderaan perantau,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Mohd. Asmadi Rahman berkata, kenderaan dilihat semakin bertambah keluar Kelantan, tetapi aliran trafik masih lagi lancar.

Katanya, mereka sekeluarga memilih untuk bertolak hari ini kerana esok mereka sudah mula bekerja.

“Kami jangka bilangan akan semakin bertambah keluar dari negeri ini dan akan berlaku kesesakan lalu lintas menuju ke ibu kota.

“Kami berharap pengguna jalan raya berhati-hati dan selamat tiba ke destinasi masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI