KUALA LUMPUR – Puluhan ribu rakyat Indonesia ‘berkampung’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini sempena Pilihan Raya Presiden Indonesia melalui proses pengundian awal.
Tinjauan Kosmo! di sini mendapati rata-rata mula memenuhi pekarangan WTC bermula daripda pukul 7 pagi tadi bagi menjalankan tanggungjawab mereka.
Bagaimanapun, keadaan di sini masih terkawal dengan kawalan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sebelum ini, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan berkata, hingga kini rakyat Indonesia yang berdaftar bagi melaksanakan tanggungjawab mengundi Ahad ini ialah seramai 223,000.
Bagaimanapun, Hermono berkata, pihaknya menjangkakan rakyat Indonesia yang hadir menjalankan tanggungjawab itu nanti adalah kira-kira 45,000 atau mewakili 20 peratus daripada keseluruhan yang berdaftar.
Pilihan Raya Indonesia kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan. – KOSMO! ONLINE