KUALA LUMPUR – Laungan nama calon Presiden iaitu bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan menggamat suasana Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Tinjauan Kosmo, di sini mendapati rata-rata penyokong kedua-dua calon itu saling berbalas sahutan menyuarakan sokongan mereka kepada calon pilihan.
Sokongan itu juga diterjemahkan dengan menunjukkan angka di jari mewakili calon iaitu Anies yang merupakan calon satu dan Prabowo yang merupakan (calon kedua).
Menurut seorang rakyat Indonesia, Hassan, 32, berkata, dia berharap agar mana-mana calon yang menjadi Presiden Indonesia baharu dapat memerintah negara itu dengan lebih baik.
“Saya sokong Prabowo tapi kita tidak perlu mencerca pemimpin yang lain kerana dia tetap pemimpin kita. Harapan saya, mana-mana calon yang dipilih sebagai Presiden Indonesia dapat membawa pembaharuan,” katanya ketika ditemui di sini.
Seorang lagi pekerja kontraktor, Shahid, 56, berpandangan, Presiden Indonesia baharu perlu membuat penambahbaikan terhadap sistem pendidikan dan peluang pekerjaan untuk rakyat mereka.
“Sama ada Anies atau Probowo yang dipilih sekalipun, paling penting adalah sistem pendidikan perlu ditambah baik.
“Selain itu, lapangan dan peluang pekerjaan perlu ditingkatkan agar masyarakat di Indonesia tidak perlu berhijrah ke luar untuk bekerja,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan puluhan ribu rakyat Indonesia mula ‘berkampung’ seawal pukul 7 pagi di WTC untuk mengundi sempena Pemilu 2024 melalui proses pengundian awal.
Pilihan Raya Umum Indonesia kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Anies, Probowo dan bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo. – KOSMO! ONLINE