DOHA – Bintang sensasi Qatar, Akram Afif mendedahkan simbol ‘S’ yang dilakukan ketika meraikan jaringan gol sepanjang kejohanan kali ini didedikasi buat isterinya yang tercinta.
Sebagai rekod, pemain berusia 28 tahun itu mencipta sensasi tersendiri apabila meledak hatrik untuk memastikan Qatar menjulang trofi Piala Asia 2023 dengan menewaskan Jordan 3-1 di pentas final awal pagi tadi.
“Huruf S itu adalah untuk isteri saya dan hari ini dia hadir ke stadium buat kali pertama. Saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang hadir untuk menaikkan semangat kami di atas padang,” kata Akram
Bekas pemain kelab Villarreal itu turut diberikan anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dan penerima Kasut Emas pada kempen Piala Asia 2023 selepas menjaringkan lapan gol keseluruhan.- AGENSI