BAGAN DATUK – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan perbincangan Ahli Parlimen beragama Islam berhubung langkah memperkasa undang-undang syariah boleh dilaksanakan, namun tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan politik untuk mempopularkan pihak tertentu semata-mata.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, keputusan Mahkamah Persekutan pada Jumaat lalu yang membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 itu merujuk kepada peruntukan perundangan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan tiada mempunyai sebarang kaitan dengan Mahkamah Syariah.
“Soal perbincangan boleh diadakan tetapi kita mesti sama-sama menelaah mengenai soal penyatuan fikrah dan tidak jadikan politik sebagai garis utama.
“Selepas ‘terhantuk ke dinding’, baru menyebut mengenai mahu memanggil seluruh orang Islam untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu,” katanya semasa kunjungan kasih Tahun Baharu Cina di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang di sini hari ini.
Media melaporkan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengajak semua pihak terutama Ahli Parlimen beragama Islam untuk bergabung demi memperjuangkan undang-undang syariah terhadap umat Islam.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, Pas sebenarnya telah mengetahui keputusan yang dilaksanakan oleh Mahkamah Persekutuan itu bersesuaian dengan peruntukan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Soal ini soal besar, namun kita berasakan soal perundangan, apatah lagi membabitkan perundangan syariah ia tidak harus menjadi isu politik sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Ia bukan soal yang terkait dengan peruntukan dalam undang-undang syariah di mana-mana negeri sekali pun. Sepatutnya perkara ini sudah dibangkitkan pada 2021 ketika kerajaan terdahulu memerintah dan di Kelantan masih lagi kerajaan yang sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE