BIARPUN menjadi mangsa kecaman ramai selepas berkahwin dengan suami orang tanpa pengetahuan isteri pertama, pengikut Instagram pempengaruh, Marissa Dania Hakim naik mendadak.
Berdasarkan pemerhatian HibGlam, jumlah pengikut Instagram anak perempuan sulung selebriti Norman Hakim dan Abby Abadi itu sekitar 563,000 sebelum isu tercetus namun kini meningkat naik kepada angka 586,000 setakat artikel ini ditulis.
Peningkatan jumlah pengikut tersebut adalah sebanyak 23,000 dalam tempoh kurang seminggu.
Terdahulu, nama Marissa Dania, 19, terus menjadi sorotan selepas dia dikatakan sudah bernikah dengan Ahmad Aslam tanpa pengetahuan isteri pertama.
Susulan tularnya berita perkahwinan tersebut, netizen mula berkampung di Instagram Marissa sejak Rabu lalu.
Malah, netizen turut menyerang gadis Marissa dengan meninggalkan komen berbentuk luahan rasa marah dalam ruangan balas pada hantaran yang pernah dimuat naiknya sebelum ini.
Marissa kemudiannya bertindak menutup ruangan komen.
Pun begitu, meski teruk dihambat dengan kritikan dan tomahan, pengikut Instagram Marissa tidak berkurang, sebaliknya bertambah hari demi hari.
Terdahulu, Marissa didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga Aslam dengan isteri pertamanya, Misya Mazlan sehingga pasangan itu hampir bercerai.
Namun, Aslam dan Misya mengambil keputusan untuk rujuk semula selepas kontroversi itu reda.
Pada November tahun lalu, Misya yang juga ibu kepada dua cahaya mata tampil membongkar dakwaan kisah kecurangan suaminya dengan model muslimah itu.
Sejak Rabu lalu, kecoh dalam media sosial apabila Marissa Dania dikatakan sudah bernikah dengan Ahmad Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember lalu.
Sementara itu, kakak ipar kepada Aslam iaitu Nadiah Mazlan ketika mengesahkan berita perkahwinan tersebut.
Bagaimanapun, Norman dan Abby terus mengunci mulut sehingga ke hari ini berhubung isu tersebut. – KOSMO! ONLINE