GEORGE TOWN – Polis hari ini menahan seorang pemuda yang disyaki terlibat dalam kes mengintip seorang wanita dengan menggunakan kamera tersembunyi atau spy cam di dalam bilik air sebuah inap desa di Jelutong, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, suspek ditahan di Kuala Lumpur dan direman selama empat hari bermula hari ini.
“Suspek lelaki berusia 20-an itu ditahan bagi membantu siasatan kes berkaitan,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di aplikasi X mengenai dakwaan seorang wanita yang mendakwa dirinya menjadi mangsa intipan dengan menggunakan kamera tersembunyi.
Wanita berusia 24 tahun itu mendakwa percutiannya bersama rakan menjadi mimpi ngeri selepas menyedari kejadian itu, 5 Februari lalu.
Susulan daripada kes itu, polis semalam mengesahkan telah menerima laporan kejadian tersebut dan sedang menyiasat kes itu dari pelbagai sudut.
Menurut Razlam, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang. – KOSMO! ONLINE