GEORGE TOWN – Warga Indonesia di negeri ini melahirkan hasrat agar pentadbiran kerajaan negara itu di bawah pimpinan Presiden baharu nanti komited dalam membuka luas peluang pekerjaan selain menjadi ‘kepala kantor’ yang telus serta adil.
Tinjauan Kosmo! di luar pekarangan Konsulat Jenderal Republik Indonesia Pulau Pinang, Jalan Burmah di sini, hari ini mendapati masing-masing tidak mahu melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih berdaftar pada hari pengundian awal Pemilihan Umum Indonesia (Pemilu) 2024.
Mereka dilihat sanggup berpanas terik selain ada yang memilih keluar rumah seawal pukul 7 pagi termasuk menempah kereta sewa sehari lebih awal sebelum hari pengundian berlangsung.
Abell, 30, yang juga seorang suri rumah berkata, dia sanggup menempah sebuah kereta sewa bersama empat rakan senegaranya dari Gelugor semata-mata mahu membuang undi demi masa depan rakyat Indonesia.
“Saya berharap Presiden baharu yang dilantik pada 14 Februari ini tidak curang dengan rakyat dan bersikap jujur dalam memimpin negara. Sebagai rakyat, kami mahukan kemajuan dan keamanan untuk Indonesia.
“Selain itu, kami juga harapkan agar pemimpin baharu ini berjiwa rakyat selain mengutamakan hal-hal berkaitan sara hidup rakyat,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Sementara itu, seorang operator sebuah syarikat swasta, Sherlly 29, pula memberitahu, dia mengharapkan agar Presiden Indonesia yang dipilih rakyat nanti dapat membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi.
“Sudah tentu rakyat inginkan pekerjaan di sana (Indonesia), harap bapa Presiden memperbanyakkan peluang pekerjaan dengan pendapatan yang lebih tinggi supaya kami dapat pulang bekerja dan tinggal di sana semula.
“Bukan itu sahaja, kami juga mahukan pemimpin baharu ini membantu mengawal harga barangan keperluan selain menjaga kebajikan rakyat yang berkeperluan,” ujarnya.
Dianggarkan seramai 832, 420 rakyat Indonesia yang menetap di negara ini dan berdaftar sebagai pemilih di enam pusat pengundian.
Proses Pemilu 2024 di negara ini berlangsung di Pusat Pengundian di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) membabitkan 222,945 pemilih, Johor Bahru (2,684), Pulau Pinang (5,375), Kota Kinabalu (2,811), Tawau di Sabah (20,247) dan Kuching di Sarawak (2,988). -KOSMO! ONLINE.