fbpx

Kampung Baru Cina: Kor Ming akan mesyuarat dengan pemimpin UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming (tiga dari kiri) menyerahkan angpau kepada salah seorang pengunjung sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di Kg. Koh, Sitiawan hari ini.

MANJUNG – Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengesahkan telah menghubungi barisan pemimpin UMNO bagi membincangkan cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berkata, satu mesyuarat akan dijalankan bagi memberi penerangan kepada mereka berhubung cadangan tersebut sekali gus mengelakkan berlakunya salah faham mengenai isu berkenaan.

“Sebenarnya saya ada berhubung dengan pemimpin UMNO. Kita ajak bermusyawarah supaya dapat berbincang dan ketahui hakikat dan fakta sebenar (cadangan tersebut).

“Ia supaya mereka tidak terpesong dengan fakta-fakta atau isu sentimen yang dimainkan pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas bantahan pemimpin-pemimpin UMNO berhubung cadangannya untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Terdahulu, beliau menghadiri sambutan Tahun Baru Cina 2024 di Kg. Koh, Sitiawan di sini dan merasmikan arca Setia Kawan yang menjadi tarikan terbaharu di bandar ini.

Pada masa sama, Kor Ming yang juga Naib Pengerusi DAP berkata, cadangan berhubung Kampung Baru Cina itu akan kaji di peringkat kementerian terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat Kabinet.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya juga menggalakkan usaha menjadikan kampung-kampung tradisi Melayu untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Sebab itu saya sedia bekerjasama dengan semua pihak. Ini adalah satu usaha murni yang akan membawa kebaikan kepada semua,” katanya yang turut memberitahu terdapat 15,000 kampung tradisi Melayu serta 613 Kampung Baru Cina di negara ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI