fbpx

46 kematian dalam tiga hari – Pengarah JSPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman Sapri

KUALA LUMPUR – Sebanyak 46 kes kemalangan maut direkodkan sepanjang tempoh tiga hari Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina yang dilancarkan sejak 8 Februari lalu.

Dalam tempoh tersebut, direkodkan sebanyak 4,764 kes kemalangan jalan raya berlaku dengan 46 kes kemalangan maut yang mengakibatkan kematian 46 orang.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, sebanyak 5,891 buah kenderaan terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Daripada kematian 46 orang akibat kemalangan jalan raya, seramai 32 orang merupakan penunggang dan tiga pembonceng motosikal secara tidak langsung menyumbang 69 peratus jumlah kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam tempoh masa yang sama juga, Azman menambah, jumlah kenderaan memasuki Lebuh Raya Utara Selatan adalah sebanyak 5.78 juta kenderaan dengan kiraan purata 1.92 juta kenderaan sehari.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak secara harian pula merekodkan sebanyak 886,106 buah kenderaan dengan purata 295,369 kenderaan.

“JSPT menjangkakan akan berlaku peningkatan kenderaan sepanjang tempoh Op Selamat 21 sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang jatuh pada hujung minggu.

“Pengguna jalan raya khusus penunggang motosikal diminta supaya berhati-hati dan berhemah serta fokus ketika berada di lalu lintas,” katanya.

Tegas beliau, penggunaan aplikasi ‘MY-TTA PLUS’ dapat membantu pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan dan menuju ke destinasi dengan selamat.

“Berehat seketika apabila kepenatan di dalam kesesakan lalu lintas dan jangan melanggar sebarang peraturan yang ditetapkan.

“Tindakan tegas akan diambil terutamanya kesalahan lalu lintas yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI