DOHA – Sebelum saingan Piala Asia 2023 di Qatar membuka tirai bulan lalu, hanya rakyat Jordan yang meletakkan keyakinan pasukan itu mampu melangkah ke pentas final kejohanan itu pada edisi kali ini.
Bagaimanapun, Jordan membuktikan bahawa bola sepak adalah sukan yang unik dan penuh dengan ketidakpastian apabila dengan megah melangkah ke perlawanan akhir apabila bakal berdepan tuan rumah, Qatar di Stadium Lusail malam ini.
Magis yang dipersembahkan Jordan ketika ini seakan sukar diterima akal apabila masih banyak pasukan gergasi yang dicanang mampu berada di pentas akhir termasuklah Korea Selatan yang mereka tewaskan di separuh akhir.
Majoriti pemain yang dibawa kali ini bukanlah berprofil tinggi apabila hanya mampu beraksi di liga domestik mereka sendiri, namun pengendalinya, Hussein Ammouta melihat pencapaian kali ini daripada dua perspektif berbeza.
Ammouta mengakui Jordan kini memasang impian besar untuk bergelar juara selepas berjaya melangkah ke tahap ini, selain mahu melihat lebih ramai pemain Jordan mampu mendapat peluang untuk mengikut jejak salah seorang pemainnya, Mousa Al-Tamari berkelana ke Eropah.
Namun, Ammouta sedar bola sepak perlu dimainkan atas padang, bukannya bersandarkan kepada cita-cita atas kertas sekaligus memerlukan kerjasama penuh daripada semua pemain untuk menyiapkan diri.
“Kami hanya ada tiga hari untuk lakukan persiapan dan kami perlu memanfaatkannya. Kami perlu perbetulkan kesilapan dan pastikan kami mampu untuk berada pada tahap terbaik pada perlawanan akhir nanti.
“Kejayaan adalah hasil usaha secara kolektif, bukannya secara individu. Pendekatan kami adalah untuk tidak terlalu menghormati pasukan lawan sebaliknya cuba bermain dengan penuh yakin dan keazaman,” katanya.
Ammouta merasakan statistik tidak beri gambaran sebenar kepada cabaran Jordan kali ini namun fokus sekarang adalah untuk melakukan tambahbaik dalam aspek taktikal.
“Kamu tidak akan lihat mana-mana pesaing yang begitu bersemangat, fokus dan ada keinginan untuk menang seperti kami,” katanya. – AGENSI