fbpx

Nik Elin perjelas isu ‘imamkan’ suami ketika solat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Elin Zurina menjelaskan dakwaan 'imamkan' suami menerusi wawancara podcast.

PETALING JAYA – Peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid menjelaskan, dakwaan dia ‘mengimamkan’ suaminya ketika solat telah dimanipulasi, sebaliknya wanita itu hanya memimpin dan mengajar cara mengerjakan ibadah tersebut.

Menurutnya, suaminya merupakan seorang mualaf sekali gus wanita berusia 62 tahun itu berasa bertanggungjawab memberikan panduan dalam melaksanakan rukun Islam kedua itu.

“Bila kahwin dengan mualaf dan kita ‘travel’ (mengembara) banyak negara (misalnya) China, Itali. Tak ada masjidlah dia nak sembahyang. Dia sendiri yang nak sembahyang dengan Kak Lin.

“Takkanlah Kak Lin nak sembahyang seorang diri, dia dah masuk Islam. Takkan Kak Lin sembahyang tak ajak dia. Jadi Kak Lin memimpin, bukan mengimamkan. Memimpin itu maknanya, dia berdiri sebelah kiri dan Kak Lin belakang sikit saja dari dia.

“Kak Lin baca semua ayat dan sembahyang sekali. Bukan duduk depan dia, jadi imam dia. Nanti macam mana Kak Lin nak mengajar,” katanya menerusi satu wawancara podcast dimuat naik ke TikTok hari ini.

Nik Elin berkata, ada dalam kalangan orang ramai yang mempersoalkan suaminya tidak menunaikan solat di masjid sahaja.

“Di China subuh pukul 4 pagi, nak pergi masjid buat apa. Kita duduk dalam hotel, senang-senang.

“Apabila Kak Lin baca dan belajar semua ni, Ummu Waraqah adalah seorang wanita semasa zaman Rasullullah yang memimpin lelaki di rumah dia untuk solat. Sebab dia memang pandai.

“Rasullullah sendiri telah memilih seorang untuk mengazankan, jadi bukan sesuatu yang peliklah. Itu memang satu kontroversi (dan) ramai tak boleh terima. Tapi suami Kak Lin mualaf yang nak belajar dan patut orang bertepuklah ‘bagus Kak Lin bawa masuk orang Islam’,” katanya.

Sehubungan itu, Nik Elin mendakwa, kenyataan yang dimuat naik pada Facebook didakwa telah dimanipulasi.

“Ia daripada perkataan ‘by the way’. ‘By the way I have led my husband in prayer’. Kita mengajar dia dan (telah) dimanupulasi,” ujarnya.

Malah, Nik Elin turut menceritakan, sewaktu membesarkan anak lelakinya di Kelantan, dia turut menjemput ustaz mengajarkan pendidikan agama Islam di rumah.

“Tak pernah Kak Lin kata imamkan dua anak lelaki. Masa membesar, ada tok guru datang setiap hari di rumah ajar al-Quran dan solat maghrib bersama selepas ayah sudah tiada. Tok guru Haji Ming, dia ajar al-Quran dan sembahyang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI