SEPANG – Pelumba pasukan Monster Energy Yamaha, Alex Rins tampak belum yakin dengan kemampuan jentera YZR-M1 menjelang saingan musim baharu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang bermula Mac depan.
Pada sesi ujian yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) 6 hingga 8 Februari lalu, dia berada di kedudukan ke-22 dari segi kelajuan jentera meskipun krew menjelaskan jentera memiliki kemampuan terbaik.
Bekas pelumba Suzuki itu mendakwa mereka masih belum mendapatkan data mencukupi bagi memastikan jentera dapat dikerah ke tahap maksimum selepas dia hanya dapat memecut 333.3 kilometer sejam (km/s).
“Sebenarnya saya tetap gembira kerana kami dapat menguji jentera dan dengan cara itu, kami dapat mengesan apa kekurangan jentera. Saya masih bergelut dengan jentera kerana tayar belakang sering terangkat.
“Keadaan itu menyebabkan saya hilang sedikit masa. Saya memang banyak fikir mengenai perkara ini (kelajuan jentera) dan sering melihat kepada beberapa maklumat yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga menganggap kedudukan pengesan kelajuan yang berada di Sepang diletakkan terlalu hampir dengan zon brek selekoh pertama sehingga menyebabkan catatan had laju jenteranya seolah-olah perlahan.
“Saya fikir mungkin alat pengesan kelajuan hampir dengan selekoh pertama. Saya membrek lebih awal berbanding Fabio (Quartararo), mungkin itu punca saya kelihatan perlahan pada carta di skrin,” ujar Rins. – AGENSI