WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden kelihatan sedikit keliru apabila menyebut rakan sejawatannya dari Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi sebagai pemimpin Mexico pada satu sidang akhbar di White House kelmarin, lapor portal berita The New Arab.
Sebelum tersilap menyebut jawatan rakan sejawatannya itu, Biden mengambil kesempatan menjawab laporan peguam khas diketuai oleh Robert Hur daripada Parti Republikan.
Laporan Hur menuduh Biden salah mengendalikan maklumat sulit ketika berkhidmat sebagai Naib Presiden AS semasa pemerintahan Presiden Barack Obama.
Walaupun dibebaskan daripada tuduhan salah laku, Presiden AS itu cuba membalas huraian laporan tersebut yang menganggap beliau memiliki ingatan yang lemah.
Semasa Biden cuba mempertahankan dirinya, dia tersilap apabila bercakap tentang perang Israel ke atas Gaza dengan merujuk Al-Sisi sebagai ‘Presiden Mexico.
“Seperti yang anda tahu, pada mulanya, Sisi iaitu Presiden Mexico, tidak mahu membuka pintu untuk membenarkan barangan kemanusiaan masuk (ke Gaza). Saya bercakap dengannya. Saya meyakinkannya untuk membuka pintu (sempadan),” kata Biden.
Kenyataan Biden mengundang komen netizen di platform X yang berkongsi pendapat tentang kesilapan beliau, termasuk seorang cendekiawan Islam Amerika popular, Omar Suleiman.
“Jadi Joe Biden memanggil Presiden Mesir Al- Sisi sebagai Presiden Mexico,” tulisnya di laman X. – AGENSI