fbpx

EPL: City lonjak ke tangga teratas liga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAALAND kembali menemui sentuhan selepas menjaringkan dua gol ketika membantu City menewaskan Everton 2-0 sebentar tadi. - AFP

MANCHESTER – Manchester City melonjak ke kedudukan teratas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Everton pada perlawanan berlangsung di Stadium Etihad sebentar tadi.

Bagaimanapun, The Citizens bermula perlahan pada perlawanan itu apabila diikat seri tanpa jaringan di separuh masa pertama selepas Everton menampilkan aksi bertahan dengan berkampung dalam kawasan sendiri.

Keputusan pengurus City, Pep Guardiola memasukkan beberapa pemain utama seperti Kevin De Bruyne dan Kyle Walker di separuh masa kedua menyaksikan juara bertahan itu berjaya mengancam pintu gol Everton.

Pada minit ke-71, gol yang dinanti-nantikan menjelma apabila Haaland memanfaatkan situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Everton untuk meledak gol pertama perlawanan bagi meletakkan City 1-0 di depan.

Jaringan itu berjaya ‘membunuh’ moral pemain-pemain Everton, sekali gus membolehkan City memegang penguasaan bola selain melancarkan serangan bertali arus ke kubu pertahanan The Toffees.

Berbaki lima minit waktu sebenar perlawanan, pintu gol Everton bocor lagi apabila Haaland menjaringkan gol kedua selepas menerima hantaran menarik daripada De Bruyne.

Walaupun Liverpool berpeluang untuk kembali memintas kedudukan selaku pendahulu liga, namun kedudukan itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada City bagi mempertahankan kejuaraan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI