SKUAD terjun negara masih memiliki sedikit harapan untuk menyaksikan beberapa atlet lagi beraksi pada Sukan Olimpik Paris 2024 Julai depan meskipun beberapa atlet sudah gagal melayakkan diri ke temasya itu secara merit.
Penerjun seperti Nur Dhabitah Sabri dan Ooi Tze Liang dikatakan berpeluang untuk meraih tiket ke Paris, namun ia perlu bergantung kepada lebihan kuota yang tidak digunakan atlet negara lain.
Pengarah teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas menjelaskan, hanya dua atlet berkenaan masih ada peluang untuk melayakkan diri ke Olimpik berbanding rakan sepasukan yang lain.
“Secara jujur, mana-mana atlet yang tidak layak (secara merit) memang sukar untuk meraih tiket ke Sukan Olimpik, kecuali Tze Liang dan Dhabitah. Kedua-dua ini ada sedikit harapan untuk layak.
“Bagaimanapun, kita perlu menunggu untuk kuota yang belum digunakan bagi memastikan mereka mendapat peluang melayakkan diri ke Olimpik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu, Dhabitah gagal melayakkan diri secara merit menerusi acara 10 meter (m) platform seirama wanita serta 3m papan anjal individu dan seirama wanita selepas gagal melepasi had kelayakan ditetapkan.
Sementara itu, Tze Liang pula terlepas peluang untuk melayakkan diri dalam dua acara disertainya, iaitu 3m papan anjal individu dan seirama lelaki.
Setakat ini, Bertrand Rhodcit Lises menjadi satu-satunya penerjun negara yang sudah mengesahkan tempat ke Paris selepas melayakkan diri secara merit menerusi acara 10m platform individu lelaki.
Untuk rekod, lima atlet negara sudah melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu termasuk Bertrand, Nur Shazrin Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal).