BEIJING – Sebuah klip video memaparkan seorang budak lelaki mahir membungkus barang untuk dipos tular di media sosial China, lapor portal berita South China Morning Post semalam.
Rakaman memaparkan seorang pelajar tadika berusmur enam tahun di wilayah Zhejiang itu dikongsikan oleh ibunya dalam aplikasi Douyin akhir Januari lalu.
Budak lelaki dikenali sebagai Taotao itu mahir melipat kotak kadbod, menutupnya menggunakan pita pelekat sebelum menampal label kurier.
“Taotao, adakah kamu mahu pulang ke rumah?” tanya ibu kepada budak lelaki itu.
“Tidak, saya tidak mahu pulang. Saya mahu bekerja. Saya suka membungkus barang,” jawab TaoTao.
Ibu bapa Taotao mengusahakan sebuah kedai e-dagang di Yiwu.
“Sempena Tahun Baharu Cina, semakin ramai pekerja meninggalkan Yiwu untuk pulang ke kampung halaman. Anak saya melihat kami sibuk lalu menawarkan untuk menolong kami.
“Dia boleh melakukannya dengan mudah kerana sudah menolong kami membungkus sejak kecil. Dia boleh membungkus sebanyak 100 kotak dalam masa sehari,” kata ibu Taotao. – AGENSI