fbpx

Anwar fokus pembangunan ekonomi, jadikan Malaysia negara disegani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Dan Selangor, hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan fokus yang lebih tinggi untuk memajukan sektor pendidikan, kesihatan serta ekonomi pada tahun 2024.

Menurut beliau, untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih disegani, kerajaan perlu mengembangkan lagi kebolehan sedia ada dalam pelbagai bidang supaya dapat menarik lebih banyak minat pelabur-pelabur dari luar negara.

“Di Kabinet juga, kita memastikan fokus adalah untuk menjadikan Malaysia negara yang hebat, aman serta kaya dengan pelbagai budaya.

“Ini adalah kekuatan Malaysia. Oleh itu, peliharalah negara ini. Jayakan negara dan tingkatkan kemajuan supaya kita boleh menjadi antara yang terhebat di rantau kita,” ulasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Kampung Attap, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chan Lih Kang, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Dalam pada itu, Anwar juga berkata hubungan Malaysia – China yang kini pada tahap strategik mampu membawa lebih banyak pelaburan ke negara ini.

Menurut beliau, hubungan baik kedua-dua negara akan terus dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat.

“Kita gunakan sejarah panjang hubungan Malaysia – China untuk tunjukkan ia merupakan hubungan yang aman dan sekarang kita tumpu hubungan ekonomi.

“Seperti yang kita sebut, China antara negara utama yang melabur dalam sektor ekonomi di negara ini dan sekarang kita terus kembangkan hubungan itu meliputi bidang pendidikan, kebudayaan, kerjasama antara universiti serta dengan syarikat-syarikat besar negara terbabit,” katanya.

Tambah Anwar, kerjasama antara kaum, terutamanya dalam beberapa isu seperti hak asasi serta demokrasi perlu diteruskan, termasuklah dalam isu menentang rasuah dalam negara.

“Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa beri sokongan terhadap usaha perangi rasuah yang pernah saya sebut sebagai satu kesalahan besar dalam negara.

“Kita harus bersihkan untuk memungkinkan pertumbuhan ekonomi dan juga pembangunan kita melonjak,” ulasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI