fbpx

10 lelaki ditahan tunggang motosikal aksi ‘superman’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara lelaki yang ditahan berlumba dan menunggang dengan melakukan aksi berbahaya, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kegiatan 10 lelaki berlumba sesama sendiri dan melakukan aksi berbahaya sewaktu menunggang motosikal mengundang padah apabila ditahan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban dan Lebuh Raya Kajang-Seremban di sini, semalam.

Tindakan membahayakan diri sendiri serta penggunakan jalan raya yang lain itu dikesan menerusi Op Samseng Jalanan oleh Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Pengarahnya, Datuk Mohd Azman Mohd Sapri berkata, operasi yang dijalankan dengan kekuatan seramai dua pegawai dan 15 anggota ini bermula kira-kira pukul 10.30 malam sehingga 4 pagi.

“Operasi pertama dijalankan pada pukul 12.15 pagi melibatkan tangkapan dua penunggang yang sedang melakukan aksi meniarap di atas motosikal bermula dari Kilometer (KM) 284 sehingga KM 276 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban.

“Operasi kedua kemudiannya dijalankan kira-kira pukul 1.45 pagi terhadap lapan penunggang motosikal yang turut melakukan aksi sama dari KM 21 sehingga KM 19 Lebuh Raya Kajang-Seremban,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azman, objektif operasi adalah untuk membanteras kegiatan samseng jalanan dan mengurangkan risiko kemalangan ketika Op Selamat yang sedang dijalankan.

“Tangkapan bagi kedua lokasi ini melibatkan seramai 10 individu berusia antara 17 hingga 23 tahun.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk tindakan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ulasmya.

Menurut Azman, sebanyak 48 saman turut dikeluarkan ke atas kedua operasi yang dijalankan selain sitaan melibatkan 10 buah motosikal.

“Siasatan mendapati kesemua suspek ditahan tidak terlibat dalam mana-mana kumpulan motosikal.

Kata beliau, menunggang secara melulu dan berbahaya merupakan satu kesalahan.

“Polis akan terus memburu mana-mana individu yang berdegil dan tidak gerun dengan hukuman dikenakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada kompromi kesalahan melibatkan samseng jalanan bagi memastikan keselamatan pengguna lain terjaga,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI